Rakyat Malaysia menarik nafas lega apabila pembentukan Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri dan kini, tibalah masa untuk semua menteri dan timbalannya, menjalankan amanah dan tanggungjawab. Rakyat sangat mengharapkan kerajaan baharu tampil lebih berintegriti dan berkarisma dalam menyantuni keperluan dan kehendak mereka. Aspek pembangunan seperti ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat, perpaduan, keselamatan dan kesihatan persekitaran antara agenda perlu diangkat kerajaan. Jika dilihat, kualiti persekitaran dan kesejahteraan hidup masyarakat semakin merosot. Sumber alam semakin terjejas dan sumber air semakin terancam.

Pertumbuhan penduduk semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dari sudut ekonomi, ia mempunyai dua implikasi iaitu membekalkan sumber tenaga kerja dan dalam masa sama memberi bebanan kepada kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan, perumahan dan sebagainya. Pertumbuhan penduduk tinggi menyumbang peningkatan penjanaan sampah-sarap di bandar besar. Pencemaran udara dan hingar turut meningkat, susulan pertambahan jumlah kenderaan bermotor, kegiatan perkilangan dan perindustrian.

Kepesatan aktiviti pembinaan turut menyumbang penghasilan sisa pembinaan dan kualiti air sungai pula semakin merosot. Implikasi ini jelas menunjukkan pertumbuhan penduduk perlu diuruskan dengan bijaksana.

Selaras pelantikan Menteri Alam Sekitar, besar harapan supaya portfolio itu memberi nafas baharu kepada kualiti alam sekitar negara.

Pembangunan berteraskan ‘sustainable development’ atau pembangunan lestari dalam apa jua aspek pembangunan perlu ditegaskan. Ia selaras dasar dan kehendak pada peringkat antarabangsa yang menyeru negara dunia supaya mengaplikasi pembangunan mampan, baik pada peringkat pusat hingga kerajaan tempatan.

Pemakaian akta, peraturan, dasar dan garis panduan berkaitan alam sekitar harus ditingkatkan. Sebarang pencemaran alam sekitar dilakukan sama ada sengaja atau sebaliknya, tidak harus dimaafkan.

Individu yang terbukti bersalah mencemarkan alam sekitar perlu dikenakan penalti dan tidak boleh diikat jamin. Ia bertujuan memberi pengajaran kepada ‘penjenayah alam sekitar’ dan sesiapa sahaja yang berniat merosakkan alam sekitar.

Adalah diharapkan dengan kaedah ini kemerosotan kualiti alam sekitar dapat dikurangkan dari masa ke semasa.

Lantas, peranan kerajaan harus serius termasuk dalam soal mendidik masyarakat ke arah menguruskan alam sekitar.

Pelbagai pendekatan harus dilaksanakan bagi mendidik masyarakat menghargai dan peka terhadap alam sekitar. Pendidikan pada peringkat sekolah, kempen, ceramah, pengedaran risalah, diskusi, wacana ilmu dan forum berkaitan harus ditingkatkan dan diperluaskan ke segenap lapisan masyarakat.

Jika dirujuk negara maju, tahap kesedaran masyarakat mereka terhadap alam sekitar adalah tinggi. Mereka sangat menghargainya. Namun, di Malaysia tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah iaitu tidak mencapai 30 peratus.

Tidak hairanlah kebanyakan kempen berkaitan alam sekitar gagal mencapai matlamat. Sebagai contoh program kitar semula dilancarkan ke seluruh negara kurang mendapat sambutan masyarakat.

Kemudahan tong dan pusat kitar semula hanya terdapat di kawasan tertentu. Bagi masyarakat di luar bandar, keadaannya amat terbatas.

Seiring penularan wabak COVID-19, semua pihak harus berganding bahu memastikan keselamatan persekitaran daripada jangkitan virus.

Alam sekitar fizikal antara komponen utama yang terjejas susulan penularan virus ini dan menyumbang kepada kematian manusia hampir di seluruh dunia.

Oleh itu, komitmen kerajaan dalam memulih dan menguruskan alam sekitar perlu seiring antara Kerajaan Pusat dan negeri. Kerjasama erat harus dilakukan terutama membabitkan kepentingan kawasan hutan, sumber air, tanah dan galian.

Kerjasama dan persefahaman sebegini dapat membendung kemerosotan kualiti alam sekitar daripada terus meningkat.

Rakyat sebenarnya menaruh harapan tinggi terhadap kerajaan baharu agar dapat meningkatkan ekosistem alam sekitar negara. Selain memperkasa pendidikan alam sekitar kepada semua lapisan masyarakat, undang-undang berkaitan wajar disemak semula selari perubahan masa.

Semoga ketegasan undang-undang dapat membendung jenayah alam sekitar daripada terus meningkat kerana alam sekitar yang sihat akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

Kerajaan seharusnya memperkasakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat sebagai agenda penting negara.

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Sumber: Berita Harian, Memperkasa alam sekitar perlu jadi agenda utama, Prof Madya Dr Haryati Shafii - Mac 13, 2020